Rabu, 4 Februari 2009

ILMU UNTUK ANDA

TEKNIK MEMBACA BERKESAN
Teknik Membaca PQRST Sistem PQRST adalah suatu teknik membaca yang diperkenalkan oleh Thomas, Ellen Lamar; Robinson dan H. Alan dalam buku mereka yang bertajuk "Improving Reading In Every Class".
Berikut adalah 5 langkah yang menjadi tunjang Teknik Membaca PQRST ini.

(a) Preview (Tinjau)Preview. TINJAU tajuk-tajuk utama pada keseluruhan buku atau bab tertentu dengan memberi perhatian kepada tajuk-tajuk besar dan kecil padanya. Tujuan utama proses meninjau ini adalah untuk anda mendapatkan gambaran keseluruhan tentang isi-isi penting pada buku atau bab-bab dalam buku itu. Dengan mendapat gambaran segera tentang kandungan buku itu, fikiran anda akan lebih tertumpu kepada isu-isu utama yang dibincang atau diutarakan pada buku tersebut.

(b) Question (Soal)Question. SOAL diri anda dengan menjadikan tajuk besar dan kecil dalam bab itu sebagai soalannya. Misalnya, tajuk bagi seksyen ini ialah Meningkatkan Mutu Pembacaan. Jadi, bentuk soalan yang boleh anda buat ialah “Bagaimana saya dapat meningkatkan mutu pembacaan saya?” Dengan adanya soalan itu semasa anda membaca, tumpuan fikiran anda akan lebih fokus kepada mencari jawapan atau jawapan-jawapan tentang soalan yang tertumpu pada fikiran anda pada ketika anda membaca.

(c) Read (Baca)Baca satu seksyen ke satu seksyen untuk mencari jawapan soalan yang anda telah bentuk itu. Sambil MEMBACA bahan bacaan anda, tumpukan perhatian untuk mendapatkan jawapan bagi soalan yang anda telah timbulkan itu. Ini merupakan suatu pembacaan yang aktif. Oleh itu, carilah tempat di mana anda boleh membaca dengan sepenuh tumpuan. Dengan berbuat demikian, anda akan dapat meningkatkan keberkesanan dan impak proses pemahaman serta pengingatan anda terhadap idea-idea utama bahan yang dibaca.

(d) Self-Recitation (Menyebut Kendiri) MENYEBUT KENDIRI ialah suatu proses di mana anda mencuba ingat fakta-fakta utama bab atau bahan yang anda telah baca. Adalah lebih berkesan jika anda menyebutkan fakta-fakta kepada diri anda secara lisan. Tujuan utamanya ialah untuk mengingat semula apa yang anda telah baca iaitu dengan menggabungkan semua proses (b), (c), dan (d) secara serentak.

(e) Test (Uji)UJI diri anda setelah anda habis membaca keseluruhan bab. Fikirkan berapa banyakkah idea-idea daripada bab yang baru anda baca itu dapat anda ingati. Pada peringkat inilah anda harus mula menyimpan apa yang telah anda pelajari ke dalam ingatan jangka panjang anda.
Dengan menggunakan Teknik Membaca PQRST, masalah terlalu banyak untuk dibaca akan dapat anda atasi. Teknik Membaca PQRST ini memudah dan mempercepatkan proses pembacaan serta pengingatan anda.

Membaca Dengan Berkesan:

Panduan Umum
Fokuskan Kepada Isu Yang Anda Baca Semasa membaca, tumpukan sepenuh perhatian dan fikiran anda kepada TOPIK yang anda sedang baca.

Fahami Dahulu Baru Hafal Tumpukan perhatian kepada MEMAHAMI dan mendapat idea-idea atau fakta-fakta utama bacaan anda. Jangan hiraukan tahap kelajuan membaca anda. Yang penting ialah anda faham apa yang anda sedang baca. Anda akan lebih mudah mengingati fakta-fakta atau isi-isi utama / bahan-bahan yang anda baca jika anda memahami apa yang anda baca. Menghafal tanpa memahami apa yang anda baca boleh menyebabkan anda cepat bosan belajar. Jika anda faham apa yang anda baca, minat anda akan meningkat untuk membaca seterusnya. Di samping itu, anda pula akan lebih mudah membuat nota daripada bacaan anda.

Perkataan yang Anda Tidak Mengerti Sekiranya terdapat perkataan-perkataan yang anda tidak tahu ertinya semasa anda membaca, anda tidak harus serta-merta membuka kamus jika perkataan itu tidak begitu penting. Memberhentikan bacaan untuk mendapat pengertiannya akan mengganggu proses pembacaan anda. Anda hendaklah tandakan dengan pensil perkataan yang anda tidak fahami itu. Apabila selesai bacaan, barulah anda cari pengertiannya.

Perbendaharaan Kata Setiap perkataan baru yang terdapat dalam bahan bacaan, hendaklah anda kumpulkan ke dalam sebuah buku khas. Di samping perkataan itu, catatkan pengertiannya serta ayat yang sesuai bagi perkataan tersebut. Cuba gunakan perkataan-perkataan itu dalam karangan dan percakapan anda sehari-hari. Dengan cara ini anda akan dapat memperluaskan pengetahuan anda tentang perkataan-perkataan, baik dari segi pengertian mahupun kegunaannya. Dengan adanya perbendaharaan kata yang luas, bukan saja bacaan anda menjadi lancar, bahkan anda akan lebih mudah memahami semua yang terkandung dalam buku itu.

Gambar Rajah Anda hendaklah memberi perhatian kepada gambar-gambar atau rajah-rajah di dalam buku. Biasanya, gambar atau rajah mengandungi maksud yang menerangkan sesuatu dengan lebih jelas. Ini membolehkan anda memahami huraian buku tersebut dengan lebih mudah. Ingat peribahasa Cina ini: "A picture is worth a thousand words".

Kualiti-Kualiti & Jati Diri Pelajar Cemerlang

Pengenalan
Pelajar yang cemerlang bukan sahaja handal dalam akademik tetapi juga hebat akhlak serta kelakuannya. Kedua-dua kualiti utama tersebut mesti ada pada pelajar cemerlang. Mencapai keputusan cemerlang dalam akademik tanpa jati diri atau keperibadian cemerlang, belum cukup untuk membolehkan seseorang pelajar itu dianggap sebagai cemerlang. Kualiti-kualiti pelajar cemerlang yang dimaksudkan adalah seperti berikut:

Amanah

Pelajar yang cemerlang boleh dipercayai, jujur dan ikhlas dalam segala tindakannya. Ia sentiasa bercakap benar, tidak bohong, tidak menipu, tidak mencuri atau tidak mengambil hak orang lain. Ia sedar bahawa segala perbuatannya adalah diperhatikan oleh Tuhan.

Bijak

Pelajar yang cemerlang bijak mengurus diri, menggunakan masa, serta sumber-sumber di sekeliling. Ia menggunakan masa hidupnya dengan sebaik-baiknya; melakukan hanya yang baik dan menjauhi perkara-perkara yang ditegah. Pelajar yang cemerlang juga sentiasa berusaha memperbaiki dirinya. Ia cenderung melakukan serta mempelajari perkara-perkara yang mendatangkan faedah.

Cergas

Pelajar yang cemerlang sentiasa menjaga kesihatan fizikal, minda dan emosi diri. Ianya juga menjaga pemakanan serta membuat latihan jasmani. Kebijaksanaannya dalam mengurus diri serta kecenderungan melakukan hanya aktiviti-aktiviti yang berfaedah membuatkan dirinya lebih berdisiplin, sihat, dan cergas. Ini juga menyebabkannya lebih tangkas dan aktif dalam aktiviti-aktiviti yang diceburinya.

Dedikasi

Pelajar yang cemerlang amat rajin, bersemangat tinggi serta komited dalam melaksanakan segala tugas dan tanggungjawabnya. Apa juga tugasannya, akan dilakukan dengan sepenuh hati. Pelajar yang cemerlang akan melakukan dengan penuh tanggungjawab dan iltizam untuk mencapai hasil yang terbaik.

Elok

Pelajar yang cemerlang baik dari segi penampilan diri, tuturkata dan perbuatan. Ia mempunyai perwatakan yang ceria, yakin dan senang didampingi. Ianya juga menjauhi diri daripada perbuatan maksiat. Ianya sedar bahawa mereka yang bergelumang dengan maksiat mempunyai jiwa yang resah. Hidup juga tidak diberkati Tuhan. Pelajar yang cemerlang menjadi contoh kepada pelajar yang lain, baik dari segi gerak-gerinya, fikiran dan percakapannya serta tindakan-tindakannya. Keelokan peribadinya disanjung baik oleh orang lain termasuk guru-guru, ibu-bapa serta keluarganya.

Faham

Pelajar yang cemerlang lebih banyak mendengar daripada bercakap. Sikapnya yang demikian, menyebabkan ia lebih banyak berfikir, menganalisa dan mengetahui sesuatu isu sebelum ianya memberi maklumbalas. Ingatannya juga kuat kerana ia mempunyai kualiti yang ingin benar-benar memahami apa yang didengar, dibaca, dilihat atau yang dipelajarinya.

Gigih

Pelajar yang cemerlang sentiasa melakukan kerjanya dengan penuh minat sehingga kadang-kadang tidak menyedari yang masa sudah berlalu begitu lama. Ia seronok belajar setiap mata pelajaran. Ia bijak dan mudah menyesuaikan diri dengan semua guru yang mengajarnya.

Hasrat

Pelajar yang cemerlang sentiasa menyimpan pada hati kecilnya suatu hasrat untuk menjadi manusia yang sangat berguna dan berjaya. Hasratnya untuk mencapai cita-cita atau impiannya memberikan suntikan motivasi kepadanya untuk berusaha bersungguh-sungguh mencapai kejayaan dalam kehidupannya.

Iman

Pelajar yang cemerlang taat kepada perintah Tuhan dan berusaha mencapai kejayaan selaras dengan norma-norma hidup iaitu mengamalkan apa yang disuruh dan menjauhkan apa sahaja yang dilarang. Ianya juga mentaati ibubapa, pemimpin-pemimpin, guru-guru, undang-undang negara serta segala peraturan dan amalan yang harus diikuti.

Pengiktirafan dan ganjaran datang kepada mereka yang menunjukkan kualiti yang baik dalam perbuatannya. - Aristotle


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

 

Template Design By:
SkinCorner